BERITA SEMASA

Selangor ungguli Majlis Apresiasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan 2025

KUALA TERENGGANU – Selangor membuktikan keunggulan apabila muncul negeri paling menyerlah dalam Majlis Apresiasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Equestrian Terengganu di sini malam tadi, sempena Simposium Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan 2025.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejayaan tersebut amat membanggakan.

“Ia sekali gus menobatkan Selangor sebagai tanda aras kecemerlangan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling negara hasil kepimpinan strategik JPN Selangor serta komitmen padu barisan Guru Bimbingan dan Kaunseling di semua peringkat,” kata kenyataan itu.

Pada majlis gilang-gemilang yang menghimpunkan penggubal dasar, pegawai pendidikan, guru serta murid dari seluruh negara itu, Selangor berjaya mengungguli pelbagai kategori utama.

Antaranya ialah Pengurusan HEM (Kaunseling dan Kerjaya Murid), Pengurusan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK); Inspirasi Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah yang dimenangi Abdul Muiez Mohd Ruslee (SMK Sungai Besar) dan Anugerah Emas Pengurusan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah (SMK USJ 8).

Selain itu, Selangor turut memenangi Anugerah Gangsa Pengurusan HEM (Kaunseling dan Kerjaya Murid) melalui Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana; Ikon Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah dimenangi Siti Aishah Mohd Hezri (SMK Seksyen 9) dan Penarafan Penganjuran Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya (SUKSES) Kategori JPN Terbaik.

Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPN Selangor, Ruzain Syukur Mansor (kanan) bersama rakan sejawatnya Muhamad Azli Ahmad dan Rabiatul Adawiyah Ismail bangga dengan kejayaan yang diperoleh JPN Selangor dalam majlis anugerah tersebut.

Menurut JPN Selangor lagi, penganugerahan itu bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan Selangor dalam melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang inovatif dan berimpak tinggi
malah mencerminkan roh pendidikan manusiawi dan nilai karamah insaniah yang dihayati seluruh warga pendidik di negeri tersebut.

“Majlis apresiasi ini turut menjadi medan penghargaan terhadap jasa dan dedikasi Guru Bimbingan dan Kaunseling yang telah memperkasa agenda kesejahteraan emosi, pembangunan sahsiah serta kemenjadian murid di seluruh negara.

“Lebih daripada sekadar pengiktirafan, acara berprestij ini menyerlahkan bagaimana perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menjadi wahana pembentukan pelajar berjati diri, berkarakter dan berpemikiran MADANI seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM),” tegas kenyataan itu.

Apa yang pasti, keunggulan Selangor bukan sekadar terserlah pada deretan trofi dan anugerah tetapi pada keutuhan nilai, profesionalisme dan kepimpinan berjiwa insan yang terus menjadi rujukan nasional.

Negeri itu kini berdiri megah sebagai mercu kecemerlangan pendidikan bimbingan dan kaunseling Malaysia, memancarkan sinar pendidikan yang mencerdaskan minda serta menyantuni jiwa generasi masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button