BERITA SEMASA

Selangor Travel Fair 2025 tarik 30,000 pengunjung, promosi pengalaman autentik dan komuniti tempatan

KUALA LUMPUR – Acara tahunan Selangor Travel Fair kembali dengan lebih meriah apabila edisi 2025 berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya bermula Sabtu lalu di Central Market, Kuala Lumpur.

Program anjuran Tourism Selangor itu merupakan antara acara utama sempena Tahun Melawat Selangor 2025, dengan penekanan terhadap tema keterangkuman, komuniti dan kebudayaan.

Selangor Travel Fair 2025 tarik 30,000 pengunjung, promosi pengalaman autentik dan komuniti tempatan
Antara pempamir di program Tourism Selamgor hari ini

Ketua Pegawai Operasi Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, lebih 30 pengusaha pelancongan dari seluruh negeri terlibat dalam acara tersebut yang menyasarkan nilai transaksi mencecah RM500,000, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

“Antara destinasi yang diketengahkan termasuklah Farm Fresh @ UPM, Selangor Fruit Valley, SplashMania Waterpark, Skyline Luge, Chocolate Museum serta lokasi warisan dan kraftangan desa.

“Kita turut menampilkan pelbagai segmen pelancongan seperti taman tema, agro, ekopelancongan, pendidikan dan inap desa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acara berkenaan turut menyaksikan pelancaran kempen terbaharu bertajuk “Selangor Kan Ada”, sebagai kesinambungan kepada kempen terdahulu “Surprising Selangor”.

Yee Ling berkata, kempen baharu itu menumpukan kepada nilai keterikatan emosi, pengalaman autentik serta penglibatan masyarakat setempat seperti penggiat seni budaya, pengusaha inap desa dan usahawan kecil bagi menjadikan pelancongan Selangor lebih inklusif dan mampan.

“Pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan termasuk bengkel pembuatan Wau Kapal, bengkel fotografi, persembahan kebudayaan oleh kumpulan tradisional Balle Balle dan PADAT, serta persembahan istimewa oleh artis popular, Lah Ahmad dan Aizat Amdan,” katanya lagi.

Tourism Selangor giat menjalankan promosi sempena Visit Selangor Year 2025

Tidak ketinggalan, pengunjung turut menikmati diskaun pakej pelancongan sehingga 50 peratus, menjadikan penganjuran kali ini antara yang paling berbaloi dan dinanti-nantikan.

Yee Ling turut berkata, negeri Selangor sebelum ini mencatatkan jumlah pelancong domestik tertinggi di Malaysia selama empat tahun berturut-turut dengan merekodkan 34.5 juta pelawat pada tahun 2024, menunjukkan kekukuhan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button