Sekurang-kurangnya 13 terbunuh kebakaran kompleks perumahan di Tai Po
HONG KONG – Sekurang-kurangnya 13 orang maut dalam kebakaran yang memusnahkan beberapa menara di kompleks perumahan di daerah Tai Po, di sini hari ini.
Laporan The Guardian yang memetik maklumat pihak berkuasa tempatan berkata, beberapa orang masih terperangkap di dalam menara yang terbakar itu, manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk.
Beberapa anggota bomba turut cedera ketika cuba memadamkan api yang marak di menara setinggi 31 tingkat itu.
Orang ramai dilihat berkumpul di jejantas berhampiran sementara asap tebal keluar dari bangunan, sebahagiannya diselubungi perancah buluh.
Sementara itu, Reuters yang memetik kenyataan jurucakap bomba berkata, mereka masih belum mempunyai angka jumlah mangsa yang mungkin masih berada di dalam bangunan.
Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba menyembur air ke arah api dari tangga jentera tinggi.
Pihak berkuasa sudah mengisytiharkan kebakaran itu sebagai kejadian tahap lima iaitu amaran tertinggi bagi insiden kebakaran.
Dalam kenyataan terdahulu jabatan bomba pukul 8.15 malam tadi (waktu tempatan), seramai 13 orang maut, termasuk sembilan di lokasi kejadian dan empat lagi selepas dibawa ke hospital.
Seramai 15 orang turut cedera, termasuk dua yang berada dalam keadaan serius di hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







