Saif, Thiago sudah dibebaskan – Aktivis
CYBERJAYA – Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila telah dibebaskan rejim Zionis, hari ini.
Pembebasan itu disahkan oleh aktivis pro‑Palestin, Musa Al-Nuwayri, menerusi hantaran di platform Threads.
Dalam hantaran itu, Musa memberitahu, Saif yang memegang kewarganegaraan Sepanyol dibebaskan di Athens, Greece, manakala Thiago, warganegara Brazil dilepaskan melalui Mesir dan dijangka tiba di destinasi seterusnya dalam tempoh beberapa jam.
“Saif baru sahaja tiba di Athens, Greece. Manakala Thiago akan tiba di Mesir beberapa jam sahaja lagi! Alhamdulillah!
“Teruskan bersuara! 9.600 tahanan Palestin, termasuk 350 kanak-kanak masih di dalam penjara Israel. #FreeThemAll,” kata Musa dalam hantaran tersebut.
Saif dan Thiago sebelum ini ditahan rejim Zionis ketika misi pelayaran GSF 2.0 berada di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece, 30 April lalu.
Mereka kemudiannya dibawa ke Israel dan didakwa di Mahkamah Majistret Ashkelon, 5 Mei lalu atas beberapa pertuduhan.
Ia termasuk membantu pihak yang dianggap musuh semasa perang, berhubung dengan ejen asing serta menawarkan perkhidmatan kepada organisasi yang didakwa mengancam rejim.
Kedua‑duanya turut dilaporkan berdepan pelbagai bentuk intimidasi sepanjang tempoh tahanan, termasuk layanan fizikal yang kasar, ugutan, serta sesi soal siasat dalam tempoh yang panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















