RM20 juta untuk naik taraf sekolah dalam kem tentera
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf 30 buah sekolah yang terletak dalam kawasan kem tentera di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peruntukan itu dilulus dan akan disalurkan kepada Kor Kejuruteraan Tentera bagi melaksanakan kerja-kerja penaiktarafan.
“Perdana Menteri ketika berada di Pangkalan TLDM Lumut memaklumkan peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf fasiliti sekolah-sekolah di dalam kawasan kem tentera.
“Sekolah-sekolah itu berada di bawah tadbir urus Kementerian Pertahanan dan bukan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Langkah ini diambil kerana isu-isu yang dihadapi oleh sekolah terbabit memerlukan penyelesaian segera dan pendekatan yang bersasar,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan Perdana Menteri berpuas hati dengan kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang menunjukkan perkembangan positif.
“Kapal pertama daripada lima unit telah berjaya disiapkan. Kapal kedua dijangka siap menjelang hujung tahun 2025, manakala kapal ketiga pada tahun berikutnya,” jelasnya.
Menurut Fahmi, perkembangan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan menyelesaikan projek tertangguh menerusi penglibatan tenaga pakar tempatan.
“Ia membuktikan keupayaan jurutera tempatan dan komitmen kerajaan dalam memastikan projek strategik negara dapat diselesaikan dengan berkesan,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








