Ribut Tropika Senyar: Episod luar biasa libatkan Selat Melaka, MET Malaysia keluarkan amaran
PETALING JAYA – Ribut Tropika Senyar yang kini dikesan berhampiran perairan Selat Melaka, menimbulkan risiko hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora di kebanyakan kawasan perairan dan sebahagian besar Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, episod itu dianggap luar biasa kerana melibatkan Selat Melaka iaitu kawasan yang belum pernah direkodkan terkena ribut tropika.

“Malaysia berada di luar laluan utama ribut tropika. Namun, fenomena kali ini luar biasa kerana melibatkan Selat Melaka, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Situasi ini mendapat perhatian bukan sahaja media tempatan malah turut menarik minat penyelidik dan pemantau cuaca antarabangsa,” jelas Dr Mohd Hisham dalam satu sidang media khas mengenai Ribut Tropika Senyar, di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan pemantauan terkini, ribut tropika itu berada pada latitud 3.6° Utara dan longitud 100.4° Timur, bergerak ke arah timur dengan kelajuan kira-kira 9 kilometer (km) sejam, manakala kelajuan angin maksimum boleh mencecah 50 kilometer sejam.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora terutamanya apabila sistem ribut memasuki daratan.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya bagi kawasan pesisir dan aktiviti maritim,” katanya.

Tambah Dr Mohd Hisham, Malaysia sebenarnya jarang dilanda ribut tropika secara langsung.
“Sebelum ini, negara hanya pernah mengalami dua episod iaitu Ribut Tropika Greg yang melanda barat Sabah pada 26 Disember 1996 dan Ribut Tropika Vamei yang melanda selatan Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2001.
“Sekiranya ribut tropika kali ini memberi impak seperti dijangkakan, ia merupakan episod ketiga dan yang paling luar biasa kerana melibatkan Selat Melaka,” jelasnya.
Sejak 23 November 2025, MET Malaysia telah mengeluarkan nasihat cuaca dan pemantauan ribut tropika, dengan kemas kini dibuat setiap tiga jam.
Setakat ini, tiga amaran utama sedang berkuat kuasa iaitu Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Lebat Berterusan, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora.
Amaran itu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Ia dijangka berkuat kuasa hingga 29 November 2025, tertakluk kepada perkembangan semasa berdasarkan radar, satelit dan pusat pemantauan ribut tropika serantau.
“Berdasarkan radar, hujan sedang tertumpu di perairan Selat Melaka dan dijangka memasuki daratan serta bergerak merentasi Semenanjung menuju Laut China Selatan.
“Hujan lebat berterusan dijangka malam ini dan esok, manakala sistem ribut dijangka beralih ke Pantai Timur pada awal pagi lusa,” jelas Dr Mohd Hisham lagi.
Beliau turut membuat perbandingan hujan lebat yang melanda Kelantan baru-baru ini mencecah 1,000 milimeter dalam tempoh empat hari, manakala di Perlis sekitar 400 milimeter dalam dua hingga tiga hari.
“Untuk episod Ribut Tropika Senyar kali ini, unjuran awal menunjukkan sekitar 200 hingga 300 milimeter bagi tempoh terdekat.
“Tumpuan hujan dijangka berlaku di sempadan Perak dan Selangor dengan kemuncak kira-kira pukul 8 malam,” katanya.
Dalam menghadapi episod ribut tropika yang jarang berlaku di Semenanjung, pihak MET Malaysia menegaskan bahawa kewaspadaan tidak boleh diabaikan, terutamanya bagi aktiviti maritim dan kawasan berisiko banjir serta tanah runtuh akibat hujan lebat.
“Keselamatan awam adalah keutamaan. MET Malaysia akan terus memantau ribut tropika ini secara berterusan dan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa supaya masyarakat boleh mengambil langkah berjaga-jaga awal,” tegas beliau.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat amaran cuaca boleh melayari laman web rasmi www.met.gov.my, media sosial MET Malaysia atau melalui aplikasi mudah alih myCuaca serta talian hotline 1300-22-1638 (24 jam).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






