BERITA SEMASAPENDAPATRENCANA

MPD: MCMC kumpul data pengguna demi rakyat, bukan untuk intipan

DALAM era digital yang semakin terhubung, isu privasi data dan keselamatan siber telah menjadi perdebatan hangat di Malaysia.

Perbincangan mengenai Program Data Telefon Bimbit (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini membuka tirai kepada pelbagai reaksi.

Daripada kebimbangan awam hinggalah kepada sokongan teknokrat terhadap inisiatif kerajaan dalam membina masa depan digital negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Selvakumar Manickam berkata, rakyat Malaysia secara amnya lebih cenderung mempersoalkan program kerajaan yang mengumpul data secara telus, berbanding ‘data mining’ besar-besaran yang dilakukan oleh syarikat teknologi swasta.

Menurutnya, sehingga Januari 2025, terdapat lebih 25 juta pengguna media sosial di Malaysia.

“Majoritinya secara sukarela berkongsi data peribadi seperti lokasi, minat, aktiviti harian, malah maklumat sensitif termasuk sekolah anak dan rekod kesihatan tanpa menyedari bahawa mereka sedang diprofilkan untuk tujuan komersial,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Selvakumar menegaskan, syarikat seperti Meta, Google dan Apple mengumpul data yang jauh lebih terperinci termasuk kandungan emel, gambar peribadi, sejarah carian dan interaksi suara, namun jarang sekali menerima tentangan setimpal.

“Ironinya, bila kerajaan menggunakan data untuk tujuan keselamatan atau mempertingkat perkhidmatan awam, pelbagai dakwaan dan andaian dilemparkan.

“Tiada perkhidmatan yang benar-benar percuma. Sebarang aplikasi percuma sebenarnya ‘dibayar’ dengan data pengguna.

“Perbezaannya ialah kerajaan menggunakan data untuk manfaat awam, manakala syarikat swasta menggunakannya untuk keuntungan,” tegas beliau.

Pengumpulan data peribadi yang dianonimkan telah lama digunakan negara-negara maju untuk tujuan awam. Gambar janaan AI

Mengungkap realiti program MCMC

Sementara itu, Pengerusi APAC IPv6 Council, Prof Emeritus Dr. Sureswaran Ramadass menolak dakwaan bahawa inisiatif MPD oleh MCMC merupakan satu bentuk pengawasan.

Menurutnya, data yang dikumpul adalah dalam bentuk agregat dan telah dianonimkan sepenuhnya tanpa nama, nombor telefon, sejarah pelayaran atau kandungan mesej dikumpul.

“Data tersebut hanya merangkumi metadata teknikal seperti kekuatan isyarat dan corak penggunaan rangkaian yang diperlukan untuk penambahbaikan sistem.

“Ia tidak mempunyai sebarang unsur yang boleh mengenal pasti individu dan dikendalikan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” ujarnya.

Dr. Sureswaran turut menggariskan kepentingan program itu dalam konteks strategik termasuklah dalam pelaksanaan teknologi 5G, perancangan bandar pintar dan kesiapsiagaan ketika bencana alam.

Tambah beliau, negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Estonia telah lama menggunakan data anonim yang serupa untuk perkhidmatan awam tanpa menjejaskan privasi.

Ketelusan adalah kunci

Kedua-dua pakar bersetuju bahawa pemantauan yang ketat, audit bebas dan komunikasi terbuka merupakan prasyarat untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.

Dalam hal ini, MCMC telah menunjukkan pendekatan telus dengan melibatkan pakar, operator rangkaian dan masyarakat awam dalam perbincangan dasar.

Menurut Dr. Selvakumar, penggunaan data secara bertanggungjawab boleh membantu pengesanan awal terhadap jenayah siber, penipuan dalam talian dan buli digital.

“Namun untuk mencapai keyakinan awam, agensi kerajaan mesti memastikan bahawa semua proses pengumpulan dan penyimpanan data dikawal rapi dan tidak disalahgunakan,” tegasnya.

Kebimbangan terhadap penyalahgunaan data peribadi perlu berdasarkan fakta bukannya persepsi. Gambar janaan AI

Antara realiti dan naratif ketakutan

Dalam pada itu, kedua-dua pakar juga menyatakan kebimbangan terhadap naratif salah yang semakin berleluasa.

Ia sekali gus mengaburkan perbezaan antara inisiatif berasaskan data yang bertujuan baik dengan tuduhan tidak berasas mengenai ‘negara pengawasan’.

“Di sinilah peranan media, ahli akademik dan masyarakat sivil menjadi penting untuk memperjelaskan konteks sebenar berdasarkan fakta dan bukan persepsi,” katanya.

Persoalan besar yang perlu ditanya oleh rakyat Malaysia hari ini bukanlah semata-mata ‘siapa kumpul data saya?’ tetapi untuk apa data itu digunakan dan adakah ia dikendalikan secara beretika?

“Jika kita membenarkan syarikat luar memanfaatkan data untuk keuntungan, maka kita tidak boleh bersikap berat sebelah terhadap usaha kerajaan yang bertujuan membina sistem yang lebih selamat, responsif dan berasaskan data.

“Kerana akhirnya, dalam dunia digital ini, kepercayaan adalah mata wang yang paling bernilai dan ia hanya boleh dibina melalui kefahaman, ketelusan dan tanggungjawab bersama,” ungkapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button