
Oleh RIDHWAN SYAHIR RUSLI
SUASANA kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam bergema dengan semangat solidariti apabila ratusan mahasiswa dan mahasiswi menyertai Konvoi dan Himpunan Solidariti Palestin.
Program tersebut dianjurkan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) USIM.

Acara yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dimulakan dengan perarakan konvoi.
Ia melalui laluan KSTN, Bulatan Iqra’, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Kolej Kediaman Islam dan Tamadun Melayu (KITM) sebelum kembali ke KSTN.
Para peserta membawa bendera Palestin, mafla, plakad dan sepanduk sambil melaungkan slogan seperti Free Palestine dan Stop the Genocide.
Menariknya, peserta mengenakan pakaian berwarna hitam, putih, hijau dan merah iaitu warna yang melambangkan bendera Palestin bagi menunjukkan komitmen mereka terhadap perjuangan membela nasib rakyat yang tertindas.

Presiden SPMM merangkap Pengarah Program, Mu’az Ariff berkata, penganjuran program ini bertujuan menyahut seruan jihad kemanusiaan oleh para ulama serta membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak.
“Program ini adalah manifestasi semangat kemanusiaan dan keadilan.
“Kita tidak boleh berdiam diri melihat penindasan yang berlaku. Mahasiswa perlu menjadi suara bagi mereka yang tertindas,” tegas Mu’az.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Hal Ehwal Pelajar, Pusat Islam USIM dan Jabatan Keselamatan Universiti yang memberikan sokongan penuh demi memastikan kelancaran program tersebut.

Tambahnya lagi, himpunan itu bukan sekadar simbolik, malah sebagai satu desakan kepada masyarakat antarabangsa agar bertindak menghentikan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Kami menyeru semua pihak, termasuk pemimpin dunia untuk mempertahankan hak asasi rakyat Palestin.
“Keadilan harus ditegakkan dan penindasan harus dihentikan,” katanya.
SPMM bersama MPP dan MPKK bertekad untuk meneruskan perjuangan itu dengan menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk kempen kesedaran, kutipan dana serta tekanan diplomatik di peringkat mahasiswa.

“Ini bukan penghujung perjuangan. Kami akan terus mengangkat suara rakyat Palestin sehingga keadilan benar-benar ditegakkan,” ujar Mu’az penuh semangat.
Program sebegini diharapkan menjadi pencetus kepada gerakan lebih besar dalam memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat sekali gus menyemarakkan lagi kesedaran masyarakat terhadap konflik berpanjangan di bumi Palestin.
- Penulis merupakan Pelajar Jurusan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Ridhwan Syahir Rusli
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |