Remaja perempuan ditemui berlumuran darah dalam tandas, dipercayai dikelar suspek lelaki
PENAMPANG – Seorang remaja perempuan ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dengan kecederaan serius di leher dipercayai akibat dikelar dalam kejadian di tandas sebuah rumah di Kampung Tuntuluk, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun yang juga warga asing ditemui terbaring sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.35 tengah hari.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian leher. Ketika ini mangsa masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, Asistan Superintendan Hairie Awang di talian 016-8032849.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
“Perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















