Real Madrid pecat Alonso, lantik Arbeloa
MADRID – Real Madrid membuat rombakan mengejut di bangku kejurulatihan apabila mengesahkan perpisahan dengan Xabi Alonso menerusi persetujuan bersama, susulan kekalahan pahit kepada seteru utama, Barcelona, dalam final Piala Super Sepanyol.
Kelab gergasi Sepanyol itu mengumumkan keputusan tersebut sehari selepas tewas 3-2 kepada Barcelona pada aksi yang berlangsung di Arab Saudi, sekali gus menamatkan tempoh singkat Alonso sebagai pengendali utama yang hanya bertahan kurang lapan bulan.
“Real Madrid mengesahkan bahawa, melalui persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, keputusan telah dibuat untuk menamatkan tugas beliau sebagai ketua jurulatih pasukan utama,” menurut kenyataan rasmi Los Blancos.
Dalam perkembangan berkaitan, Real turut mengumumkan pelantikan bekas pemainnya, Alvaro Arbeloa, sebagai pengganti Alonso, namun tidak mendedahkan tempoh kontrak jurulatih berusia 42 tahun itu.
“Arbeloa telah mengendalikan pasukan Castilla sejak Jun 2025 dan keseluruhan perjalanan kejurulatihannya dibina dalam akademi Real Madrid sejak 2020,” menurut kenyataan kelab itu lagi.
Arbeloa bakal memulakan tugas rasminya sebagai pengendali pasukan utama dalam perlawanan pusingan 16 Piala Raja Sepanyol menentang kelab divisyen dua, Albacete, esok.
Alonso dilantik pada Jun lalu bagi menggantikan Carlo Ancelotti, namun gagal memastikan prestasi konsisten, dengan Real kini menghuni tangga kedua LaLiga, ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.
Kekalahan kepada pasukan kendalian Hansi Flick pada Ahad lalu menjadi perlawanan terakhir Alonso bersama Real Madrid.
“Ia satu tempoh yang singkat tetapi satu penghormatan untuk bermain dan belajar di bawah bimbingan anda. Saya akan mengingati anda sebagai jurulatih dengan idea yang jelas dan pemahaman mendalam tentang bola sepak. Selamat maju jaya untuk fasa seterusnya,” tulis bintang Perancis, Kylian Mbappe, menerusi Instagram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








