BERITA SEMASASUKAN

KBS lancar MyAthlete Centre sebagai hab holistik tangani tekanan atlet

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memastikan kebajikan dan kesihatan mental atlet negara terus terpelihara menjelang tiga temasya sukan utama tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan MyAthlete Centre sebagai hab kesejahteraan holistik pertama seumpamanya di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pusat yang digerakkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) itu bakal menjadi nadi baharu sokongan menyeluruh kepada atlet kebangsaan, bukan sahaja dari aspek fizikal malah emosi dan pembangunan masa depan mereka.

Menurut beliau, MyAthlete Centre diwujudkan sebagai ruang riadah dan santai untuk atlet melepaskan tekanan di tengah-tengah jadual latihan padat selain menjadi lokasi penganjuran program yang mampu menyemarakkan semangat berpasukan.

“Lebih bermakna, pusat ini akan dikendalikan sendiri oleh atlet sebagai pekerja sambilan. Inilah konsep ‘centre for athletes, by athletes’ yang kita bangunkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pusat berkenaan turut berfungsi sebagai pusat rujukan setempat bagi atlet mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pendidikan, kebajikan serta laluan kerjaya selepas persaraan sukan.

Beliau berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem sukan negara secara menyeluruh, termasuk memberi perhatian serius terhadap aspek kesejahteraan mental atlet.

“MyAthlete Centre diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup atlet kebangsaan, sekali gus membantu mereka memberi fokus sepenuhnya kepada persediaan menghadapi kejohanan,” ujarnya.

Kontinjen negara dijadual menggalas cabaran besar tahun ini dalam tiga temasya utama iaitu Sukan Komanwel 2026 di Glasgow serta Sukan Asia 2026 dan Sukan Para Asia 2026 di Jepun.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sekiranya projek perintis MyAthlete Centre mencapai matlamat yang ditetapkan, KBS tidak menolak kemungkinan untuk menambah dua lagi pusat seumpamanya pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button