BERITA SEMASAPOLITIK

Rasuah bukan isu bangsa, jangan alih dengan isu babi – Dr Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Isu rasuah tidak wajar dikaitkan sebagai masalah yang menjadi stereotaip mana-mana bangsa dan tidak juga dipengaruhi oleh faktor pemakanan.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Kelestarian Alam PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim menegaskan, kenyataan yang cuba mengaitkan tabiat pemakanan dengan perbuatan rasuah adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Rasuah adalah masalah semua bangsa, ia bukan berkaitan sama ada seseorang itu makan babi atau tidak. Sebab itu saya tunjukkan sedikit fakta apabila dibawa (oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo) naratif, kami makan babi tapi kami tak makan rasuah,” tegasnya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang mengatakan individu pemakan babi tidak banyak terlibat dalam amalan rasuah berbanding dengan yang tidak memakannya.

Mongin juga mencetuskan kontroversi apabila membandingkan pengambilan babi dengan budu dan belacan yang dikatakan jauh lebih busuk.

Menurut Dr Azman, isu sebenar mengenai babi sepatutnya berkisar mengenai penternakan haiwan berkenaan yang menyebabkan pencemaran bau, air dan persekitaran terutama apabila ia diternak dalam kawasan penduduk yang tidak memakan babi.

“Ini bukan teori tetapi realiti. Contohnya, orang Melayu di Tasik Gelugor, Pulau Pinang terpaksa menghidu udara ‘berperisa’ babi dari Ladang Ternakan di Kampung Selamat sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Dr Azman juga menekankan setiap individu bebas menentukan cara mereka memakan babi namun operasi ladang penternakan babi di kawasan majoriti bukan pemakan babi mencetuskan rasa tidak dihormati.

“Siapa boleh nafikan bahawa bau dan pencemaran dari ladang babi sangat menjijikkan dan memualkan. Kenapa mesti orang Melayu Islam yang menjadi mangsa?” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu.

Beliau juga menegaskan, percubaan mengalihkan isu rasuah dengan mengaitkan babi adalah tidak relevan.

“Bangsa C ramai bagi rasuah manakala bangsa M ramai terima rasuah kerana faktor dominasi dalam perkhidmatan awam. Bangsa-bangsa lain pun ada yang terlibat rasuah sama,” jelasnya.

Pada 12 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan beberapa ketetapan termasuk memutuskan bahawa operasi penternakan babi di Tanjung Sepat dihenti dan dipindahkan segera ke Bukit Tagar.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button