BERITA SEMASA

Rambo Castello meninggal dunia di Jogjakarta

KOTA BHARU – Pempengaruh media sosial terkenal, Ahmad Radzli Che Ngah atau lebih dikenali sebagai Rambo Castello, meninggal dunia awal pagi tadi di Jogjakarta, Indonesia.

Allahyarham yang juga dikenali sebagai Cikgu Li, 59, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.38 pagi waktu Indonesia di Rumah Sakit Sardjito, selepas lebih seminggu ditidurkan akibat serangan jantung.

Anak ketiganya, Hafizul Fazli mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa arwah meninggal dunia di sisi beliau dan ibu, Asiah Abdullah.

“Jenazah ayah akan dibawa pulang ke Kampung Wakaf Zing, Jeli, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran rumah. Kami sedang menguruskan proses membawa pulang jenazah dan dijangka tiba ke kampung hari ini,” memetik Buletin TV3.

Sebelum ini, media melaporkan Rambo Castello dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Rumah Sakit Sardjito sejak 5 Oktober lalu selepas diserang sakit jantung ketika berada di Indonesia.

Allahyarham yang merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, dikenali ramai melalui platform media sosial kerana sering berkongsi video motivasi, humor dan pandangan mengenai isu semasa yang dekat dengan masyarakat.

Pemergian beliau turut meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan pengikut serta rakan seperjuangan yang menzahirkan ucapan takziah dan doa di media sosial.

Jenazah dijangka disemadikan di Kampung Wakaf Zing petang ini selepas tiba dari Jogjakarta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button