LUAR NEGARA

Ramadan genap 30 hari: Aidilfitri di UAE dijangka Jumaat, 20 Mac

SHARJAH – Akademi Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah (SAASST) menjangkakan umat Islam di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menyambut Aidilfitri pada hari Jumaat bersamaan 20 Mac, berdasarkan pengiraan astronomi bagi penentuan anak bulan Syawal 1447 Hijrah.

Menurut kenyataan SAASST yang dipetik Agensi Berita Emiriah (WAM), pengiraan astronomi menunjukkan anak bulan Syawal tidak dapat dilihat pada malam cerapan iaitu Rabu, 18 Mac bersamaan 29 Ramadan.

Keadaan itu berlaku kerana bulan terbenam lebih awal daripada matahari di ufuk barat pada malam berkenaan, sekali gus menyebabkan Khamis, 19 Mac melengkapkan 30 hari Ramadan.

Balai cerap SAASST memaklumkan, fenomena kesebarisan permukaan bulan akan berlaku hari Khamis pada pukul 4.24 pagi waktu UAE.

Ketika matahari terbenam pada hari yang sama, usia anak bulan dianggarkan hanya sekitar 14 jam enam minit, dengan jarak sudut 6.5 darjah dari matahari dan berada kira-kira enam darjah di atas ufuk barat, selain hanya kekal selama 29 minit selepas matahari terbenam.

Menurut SAASST, keadaan tersebut menjadikan usaha mencerap anak bulan hampir mustahil, walaupun menggunakan teleskop dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar di kawasan tempatan.

Laporan itu turut menyatakan teknologi pengimejan canggih berkemungkinan dapat merakam imej samar anak bulan, namun kebarangkaliannya masih rendah.

Bagaimanapun, beberapa negara Arab dan Islam berpotensi melihat anak bulan menggunakan mata kasar atau teleskop bergantung kepada kedudukan geografi yang lebih sesuai.

Sehubungan itu, SAASST menjangkakan dengan izin Allah, Jumaat 20 Mac akan menjadi 1 Syawal, sekali gus menandakan sambutan Aidilfitri di UAE serta kebanyakan negara Islam.

Namun, negara yang bergantung sepenuhnya kepada cerapan mata kasar atau teleskop khususnya yang memulakan Ramadan pada Khamis, 19 Februari mungkin akan menyambut Aidilfitri sehari kemudian iaitu Sabtu, 21 Mac.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button