BERITA SEMASA

Rakyat Palestin hargai keberanian sukarelawan Malaysia sertai Misi Break The Siege

KUALA LUMPUR – Keberanian sembilan sukarelawan Malaysia menempuh lautan demi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza yang masih bergolak mendapat penghargaan mendalam daripada rakyat Palestin.

Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Gaza, Dr Ziad Shehada menzahirkan ucapan terima kasih kepada delegasi kemanusiaan negara ini yang menyertai misi Break The Siege di bawah kelolaan MyCare dan Freedom Flotilla Coalition (FFC).

“Dari lubuk hati kami yang paling dalam, kami ucapkan terima kasih Malaysia. Terima kasih MyCare.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan doktor dan sukarelawan yang sanggup berjuang membawa mesej kemanusiaan,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook MyCare, hari ini.

Dr Ziad turut menyebut nama barisan peserta Malaysia yang disifatkannya sebagai wira kemanusiaan kerana keberanian mereka dalam pelayaran berisiko tinggi menuju Gaza.

“Insya-Allah, kita akan bertemu lagi di Gaza. Semua staf FFC akan disambut di rumah saya, makan bersama-sama dengan keluarga dan masyarakat tempatan, menikmati hidangan Palestin,” katanya sambil melahirkan doa agar usaha solidariti antarabangsa terhadap Palestin terus diperkukuh.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin tidak akan pernah padam dan kehadiran misi seperti Break The Siege menjadi bukti bahawa dunia masih bersama mereka menentang kezaliman.

malaysians
Aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) sudah dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis dan selamat tiba di Turkiye. – Foto Facebook MYCARE

“Jangan risau tentang Palestin, tentang Gaza. Alhamdulillah, misi seterusnya pasti akan sampai ke Gaza,” tambahnya dengan penuh harapan.

Semalam, sembilan sukarelawan Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

Mereka ialah Prof. Emeritus Dr Mohd Alauddin (Ketua Delegasi Malaysia), Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Maziah Muhammad, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Kesemua mereka dijangka pulang ke tanah air esok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button