BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Sabah: AMANAH intai peluang bertanding di satu lagi kerusi

SHAH ALAM – Parti AMANAH Negara (AMANAH) kini sedang berusaha menambah sekurang-kurangnya satu lagi kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.

Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini parti itu hanya mempunyai satu kerusi di Sabah dan sedang mengadakan perundingan akhir bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi mempertimbangkan tambahan kerusi sebelum penamaan calon pada 15 November, manakala hari mengundi ditetapkan pada 29 November.

“Setakat ini AMANAH dapat satu kerusi, tetapi kami sedang berusaha untuk mendapat sekurang-kurangnya satu lagi.

“Kita sudah sampaikan hasrat itu kepada kepimpinan PH dan mereka akan cuba buat perundingan akhir menjelang penamaan calon nanti,” katanya ketika sidang media Konvensyen, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, kerusi Sulabayan antara kawasan yang menjadi tumpuan Amanah meskipun diakui sebagai kawasan yang mencabar.

“Memang Sulabayan satu kerusi yang tough, tapi itulah pilihan raya. Bila kita diberi amanah, kita akan cubalah di mana sahaja tempat yang diberi kepada kita untuk bertanding,” ujarnya.

Beliau menegaskan, AMANAH bersedia menyertai pilihan raya bersama rakan-rakan dalam PH dan menganggap tambahan satu kerusi sebagai permulaan penting bagi memperkukuh kedudukan parti di Sabah.

“Kalau kami dapat satu sekarang, plus one bagi kami itu sudah cukup baik untuk memulakan langkah. AMANAH akan terus berperanan aktif dalam gabungan kerajaan,” katanya.

Mohamad turut yakin gabungan Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kembali menguasai Sabah pada pilihan raya kali ini.

“Walaupun rundingan kerusi ini sukar, kami percaya ia akan selesai sebelum penamaan calon. Kami yakin gabungan ini akan kembali memimpin Sabah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button