BISNES & EKONOMI

Prestasi dagangan negara kekal kukuh, cecah RM336.73 bilion

PUTRAJAYA – Prestasi perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan bagi bulan April 2026 dengan mencatat peningkatan tahun ke tahun sebanyak 28.6 peratus kepada RM336.73 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, kadar pertumbuhan terpantas sejak September 2022 itu yang merupakan prestasi terbaik dalam tempoh 43 bulan turut disokong pengembangan berterusan dalam pasaran dan barangan eksport utama.

Menurut MITI, perdagangan Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang pada April 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meruncing susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan kenaikan kos logistik, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan harga komoditi.

“Ia juga meneruskan trajektori pertumbuhan positif, dengan perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam temph sama, kadar eksport meneruskan momentum pertumbuhan bagi bulan ke-10 berturut-turut dengan kenaikan sebanyak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion, melonjak hampir RM30 bilion berbanding rekod tertinggi sebelum ini sebanyak RM152.77 bilion yang dicatatkan pada Disember 2025.

Kadar import turut berkembang dengan kenaikan sebanyak 20 peratus kepada RM153.99 bilion, manakala lebihan dagangan sebanyak RM28.75 bilion direkodkan dan menjadi lebihan ke-72 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

MITI berkata, pertumbuhan eksport didorong terutamanya oleh pengembangan dua digit barangan eksport utama diterajui sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat hampir RM28 bilion ke paras tertinggi baharu.

Prestasi sektor itu disokong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif selain peningkatan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 88.7 peratus daripada jumlah eksport melonjak 40.1 peratus kepada RM162.13 bilion sekali gus mencatat nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan.

Dalam tempoh sama, eksport hasil galian yang menyumbang 5.6 peratus bahagian eksport meningkat 25.6 peratus kepada RM10.20 bilion, manakala eksport keluaran pertanian yang mewakili 4.9 peratus bahagian eksport kembali berkembang 5.2 peratus kepada RM8.91 bilion.

Barangan E&E kekal menjadi penyumbang terbesar eksport negara dengan nilai RM88.16 bilion atau 48.2 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan, meningkat 46.4 peratus berbanding April tahun lalu.

Keluaran petroleum pula mencatat nilai eksport RM14.47 bilion, meningkat 70.2 peratus, diikuti jentera, kelengkapan dan peralatan sebanyak RM8.19 bilion naik 26.6 peratus.

Barangan perkilangan logam meningkat 42.7 peratus kepada RM7.28 bilion, manakala eksport barangan optik dan saintifik naik 40.9 peratus kepada RM7.11 bilion.

Dari sudut pasaran utama, perdagangan dengan negara ASEAN yang menyumbang 27 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 34.3 peratus kepada RM90.83 bilion.

Eksport ke ASEAN turut mencatat nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan dengan peningkatan 31.4 peratus kepada RM53.47 bilion, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.

Singapura kekal menjadi destinasi eksport utama Malaysia dalam ASEAN dengan nilai RM28.32 bilion, meningkat 23.2 peratus, diikuti Thailand sebanyak RM7.58 bilion dan Vietnam RM7.53 bilion.

Perdagangan Malaysia dengan China pula berkembang 37.6 peratus kepada RM60.67 bilion, sekali gus menjadi pertumbuhan dua digit bagi lapan bulan berturut-turut dan kadar terpantas sejak Mei 2021.

Eksport ke China meningkat 39.2 peratus kepada RM19.96 bilion, manakala perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) merekodkan eksport lebih tinggi sebanyak 39 peratus kepada RM26.72 bilion bagi mencatat pertumbuhan dua digit selama lima bulan berturut-turut.

MITI berkata, perdagangan dengan Taiwan melonjak 39.6 peratus kepada RM29.02 bilion dengan eksport meningkat 86 peratus kepada RM13.43 bilion yang juga rekod tertinggi baharu.

Sementara itu, perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) meningkat 26.4 peratus kepada RM22.36 bilion, dengan eksport melonjak 43.5 peratus kepada RM13.62 bilion, dipacu terutamanya oleh peningkatan eksport barangan E&E.

Bagi tempoh Januari hingga April 2026, perdagangan Malaysia melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan, sebulan lebih awal berbanding tahun sebelumnya apabila meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion.

Eksport bagi tempoh itu meningkat 19 peratus kepada RM609.31 bilion, import naik 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion manakala lebihan dagangan melonjak dua kali ganda kepada RM91.92 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button