
Presiden PAS sahkan Nik Amar digugurkan, tidak dilantik ke jawatan tertinggi negeri
KUALA TERENGGANU – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perubahan bagi pucuk pimpinan negeri Kelantan perlu dilakukan bagi memberikan wajah dan semangat baharu untuk negeri itu selepas lebih 30 tahun parti itu memerintah.
Beliau berkata, calon baharu yang akan dipilih nanti bagi menjawat jawatan menteri besar dan timbalannya diyakini akan diterima oleh rakyat dan Sultan Kelantan.
“Kita buat pertukaran dan timbalan juga ada pertukaran, pengumuman itu bergantung kepada persetujuan tuanku kerana pelantikan kerajaan melibatkan tuanku, parti dan rakyat.
“Rakyat kita tak tau lagi, lepas itu parti dah ada calon dan akan kemukakan kepada tuanku sultan,” katanya dalam sidang media selepas membuang undi di sini hari ini.
Semalam Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa terdapat perubahan pada dua jawatan tertinggi kerajaan negeri di Kelantan sekiranya PAS menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan hari ini.
Ketika ini jawatan Menteri Besar Kelantan disandang, Datuk Ahmad Yakob manakala timbalannya disandang oleh Datuk Nik Amar Nik Abdullah yang juga Naib Presiden PAS.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pengguguran kedua-dua pemimpin itu, katanya, keputusan itu diambil berikutan keadaan kesihatan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu yang tidak mengizinkan dan untuk memberikan wajah baharu di negeri itu.
“Menteri Besar undur diri kerana uzur, dulu pun beliau merayu untuk tidak dilantik tapi kita minta dan desak lagi. Memang beliau ada keuzuran, masuk hospital dan terima rawatan beberapa kali.
“Kali ini kita pertimbang kesian pada beliau tapi beliau masih menjadi wakil rakyat. Kita mahu semangat baru di Kelantan, sebab itu timbalan juga diubah,” katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yakin langkah yang diambil itu mendapat perkenan Sultan Kelantan dan diterima rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








