Prabowo arah sekolah Indonesia ajar bahasa Perancis
PARIS – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan pembelajaran bahasa Perancis diperkenalkan di semua sekolah di Indonesia sebagai persediaan menghadapi perkembangan global pada masa depan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Élysée, di sini semalam.
Menurut Prabowo, hubungan dua hala antara Indonesia dan Perancis ketika ini berada pada tahap sangat baik merangkumi pelbagai sektor termasuk pendidikan.
“Sekarang saya sudah arahkan semua peringkat sekolah di Indonesia untuk mempelajari bahasa Perancis, melihat kepada perkembangan dunia pada masa depan,” katanya seperti disiarkan menerusi saluran YouTube Sekretariat Presiden Indonesia.
Dalam pertemuan itu, Prabowo turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara selain percaya Indonesia dan Perancis mampu memainkan peranan positif dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu.
Prabowo juga mengakui lawatannya ke Perancis kali ini merupakan kunjungan ketiga dalam tempoh lima bulan selepas lawatan terdahulu pada Januari dan April lalu.
Sebelum ini, Prabowo turut mencadangkan supaya bahasa Portugis diperkenalkan di sekolah-sekolah Indonesia selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva pada tahun lalu.
Pada masa sama, kerajaan Indonesia juga sedang memperluaskan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah bermula 2027 sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar.
Media tempatan turut melaporkan bahawa Prabowo mahu beberapa bahasa asing lain termasuk Mandarin dan Sepanyol diperluaskan dalam sistem pendidikan negara itu sejajar perubahan ekonomi dan geopolitik global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















