
DUN Perak gantung Razman enam bulan berkuat kuasa serta-merta
IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini secara majoriti meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria daripada menghadiri sidang selama selama enam bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) dan disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup).
Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Terdahulu, Razman yang juga Ketua Pesuruhjaya Pas Perak, difahamkan ‘direhatkan’ daripada jawatannya oleh Pas Pusat sejak bulan lepas susulan dikaitkan dengan beberapa isu berpunca daripada kenyataan dibuatnya.
Keputusan penggantungan itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan yang bersidang kelmarin.
Razman dikenakan tiga pertuduhan, dan hukuman penggantungan itu merupakan tindakan bagi pertuduhan ketiga iaitu sewaktu berucap pada 2 Disember 2024, didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
Pertuduhan pertama terhadapnya pula digugurkan manakala jawatankuasa tersebut menerima permohonan maaf bagi pertuduhan kedua dengan amaran tidak mengulangi semula.
Sementara itu, seorang lagi ADUN, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) ‘terselamat’ apabila jawatankuasa menerima permohonan maaf secara bertulis dikemukakan dan hanya perlu menarik semula penggunaan perkataan ‘penjilat’ tanpa mengulanginya di dalam Dewan.
Pada 4 Disember lalu, DUN Perak meluluskan usul membawa Razman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas didakwa membuat kenyataan tidak benar pada 2 Disember.
Keputusan itu dibuat Mohammad Zahir selepas usul dibawa ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dipersetujui.
Sebelum itu, Jason bangkit dan memaklumkan Ketua Pembangkang DUN itu telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera Negara China dikibarkan di Teluk Intan.
Katanya, pada 2 Disember 2024 semasa Persidangan Kedua, Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak ke-15 Razman sewaktu berucap telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
Mohammad Zahir pula berkata, berdasarkan kepada Perintah Tetap Peraturan 40 (3) (a) dan (b), beliau merasakan ada merit kepada usul tersebut dan bersetuju merujuk Razman ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.
Terdahulu, Razman yang juga Ketua Pesuruhjaya PAs Perak, difahamkan ‘direhatkan” daripada jawatannya oleh Pas Pusat susulan dikaitkan dengan beberapa isu berpunca daripada kenyataan dibuatnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |