Hamzah patut letak jawatan Ketua Pembangkang – Tun Faisal
SEREMBAN – Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin sepatutnya meletakkan jawatan Ketua Pembangkang kerana tidak lagi mempunyai keabsahan selepas dipecat daripada parti berkenaan.
Menurut Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) pada 22 Februari lalu telah memutuskan Ahli Parlimen Larut itu perlu mengosongkan jawatan susulan pemecatannya daripada parti.
“Dengan pemecatan itu, Hamzah tidak lagi mempunyai ‘locus standi’ untuk mewakili BERSATU atau PN dalam apa jua kapasiti di Dewan Rakyat.
“Mengikut konvensyen Westminster, jawatan ketua pembangkang bergantung kepada keanggotaan parti seseorang Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Hamzah dan 16 yang lain kerana melanggar Fasal 9.1.4 dan 22.5 Perlembagaan BERSATU.
Turut dipecat, Ahli MPT BERSATU merangkap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Datuk Zainol Fadzi Paharudin, yang juga ahli MPT merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.
Lain-lain ialah Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Tindakan disiplin juga membabitkan pemimpin di peringkat bahagian, termasuk Setiausaha BERSATU Sabah dan Ketua Bahagian Libaran, Yunus Nurdin; Datuk Abdul Aziz (Dungun); Mohd Hassundi Hamzah (Larut); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata komponen PN bersetuju PAS mengambil alih jawatan ketua pembangkang, namun parti itu memerlukan masa untuk mengenal pasti calon sesuai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








