Hamzah pertimbang sertai parti sedia ada, bawa agenda ‘Reset’
MELAKA – Ahli Parlimen (MP) Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan kemungkinan beliau bersama 18 MP yang menyokong agenda ‘Reset’ akan bergabung dengan sebuah parti politik sedia ada sebagai platform perjuangan, berbanding menubuhkan parti baharu.
Tanpa mendedahkan parti yang dimaksudkan, Hamzah berkata, pendekatan memperkukuh dan melakukan pembaharuan terhadap parti sedia ada dilihat lebih relevan dalam landskap politik semasa negara.
“Parti tidak boleh sekadar menjadi platform pertemuan atau aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu perjuangan yang jelas dan berprinsip.
“Ada orang tanya saya, (nak tubuh) parti baharu atau (sertai) parti lama. Saya nak katakan, saya tak bersetuju untuk kita menubuhkan parti baharu, tetapi kalau kita masuk parti lama dan kita perbesarkan, itu saya bersetuju.
“Yang penting kita buktikan rumah yang kita masuk nanti adalah satu-satunya yang akan kita perbesar dan ‘resetkan’ untuk menjadi wadah perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Jamuan Hari Raya anjuran Sekretariat Reset Melaka di Peringgit Point, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Sekretariat Reset Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Mengulas desas-desus mengenai kemungkinan menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Hamzah yang sebelum ini dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
“Kita dalam politik ini, desas-desus itu bukan kepastian. Jadi sebab itu saya (memilih untuk) tak menjawab (mengulas lanjut),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah turut mengesahkan bahawa Reset Melaka akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Disember depan.
“Sudah pasti (Reset Melaka sertai PRN), sebab Melaka perlukan mereka yang berwawasan untuk mentadbir negeri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








