POLITIK

Nama Ketua Pembangkang baharu dijangka diumum sebelum sidang Dewan Rakyat Jun ini

KUANTAN – Nama individu yang akan menggantikan bekas Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dijangka akan diumumkan sebelum Dewan Rakyat bersidang Jun ini.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN sudah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan pengosongan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini PN belum memuktamadkan siapa yang akan mengisi jawatan itu.

“Insya Allah menjelang sidang itu nanti, kita akan namakan Ketua Pembangkang baharu kerana tiada keperluan setakat ini untuk mengumumkan pengganti memandangkan Dewan Rakyat belum bermula.

“PN juga akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi Sabtu ini dan ada beberapa perkara yang akan diputuskan pada mesyuarat tersebut,” katanya kepada pemberita di pekarangan Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam ceramahnya di Kuala Terengganu Ahad lalu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, teguran telah dibuat dan diterima.

“Teguran sudah dibuat, dia terima dan mengaku kesilapan serta telah memohon maaf selain menarik balik kenyataan itu, saya fikir tindakan itu memadai.

“Buat masa ini, itulah yang terbaik kalau kita buat salah kita mengaku dan tarik balik kenyataan itu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button