Polis tahan tiga adik-beradik pelajar tahfiz
Bantu siasatan dakwaan dera seksual pelajar lain
KUALA LUMPUR – Tiga pelajar sebuah tahfiz ditahan kelmarin bagi membantu siasatan berkaitan penemuan kesan kecederaan pada sekumpulan pelajar sekolah tahfiz yang sama yang ditemui semula selepas dilaporkan hilang Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketiga-tiga pelajar berkenaan yang merupakan adik-beradik, berusia 13, 15 dan 20 tahun.
“Salah seorang suspek direman selama sehari untuk siasatan lanjut manakala dua lagi suspek tidak direman kerana bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 7 petang semalam.
“Ketiga-tiga suspek dibebaskan setelah keterangan mereka dirakam.
“Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan daripada doktor,” katanya lagi.
Laporan media semalam menyebut, polis menemukan beberapa kesan kecederaan pada tubuh badan empat pelajar tahfiz yang ditemui semula selepas dilaporkan hilang sebelum ini.
Rusdi dalam laporan tersebut dipetik sebagai berkata, kesemua pelajar berumur antara 13 hingga 14 tahun itu ditemui di Bangi, Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas disyaki didera dan menjadi mangsa seksual.
Tambahnya, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31 1 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 b Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





