JENAYAH & MAHKAMAH

Disyaki ‘pau’ pengunjung Hospital Kajang, polis tahan pengawal keselamatan wanita

KAJANG – Polis telah menahan seorang pengawal keselamatan wanita yang didakwa sering mengenakan caj parkir tidak wujud selain mengeluarkan kata-kata ugutan kepada pengunjung Hospital Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penahanan itu susulan laporan seorang wanita berusia 31 tahun berhubung dakwaan pengawal keselamatan itu telah meminta RM50 sebagai caj parkir daripada ibunya.

Katanya, kejadian berlaku 23 Disember tahun lalu kira-kira pukul 4 petang di salah sebuah hospital, di sini.

“Pengawal keselamatan tersebut dilihat cuba untuk mengambil kesempatan dengan cara memeras wang tunai daripada pengunjung hospital sekiranya meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.

“Selain itu, pengawal keselamatan terbabit turut mengeluarkan kata-kata ugutan yang tidak sopan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pengawal keselamatan berusia 28 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pihak polis menyeru supaya orang awam atau individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tindakan pengawal keselamatan wanita itu menjadi tular menerusi beberapa video di media sosial.

Antaranya, perkongsian pengguna TikTok @allyszackry yang merupakan anak kepada seorang warga emas yang dikatakan telah ditipu oleh pengawal keselamatan mengenai caj parkir di hospital.

Satu lagi video dikongsi pempengaruh TikTok, Iman Kamil menunjukkan pengawal keselamatan wanita yang sama meminta bayaran RM10 untuk caj parkir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button