Polis siasat video tular pelajar berpakaian seperti kumpulan pelampau perkauman
SEPANG – Pihak polis sedang menyiasat satu video tular yang memaparkan pelajar dipercayai daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil berpakaian seperti kumpulan pelampau perkauman, Ku Klux Klan (KKK).
Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, seorang lelaki tempatan telah membuat laporan polis pukul 7.24 malam semalam, yang mendakwa video tersebut mengandungi elemen perkauman.
“Kami mengesahkan menerima laporan polis berkaitan satu video yang dipercayai mengandungi unsur diskriminasi kaum, yang dimuat naik oleh seorang pelajar UiTM Dengkil dan kini telah tular.
“Video tersebut dipercayai merupakan sebahagian daripada tugasan subjek Isu Global dan Perundangan Kontemporari universiti, yang memerlukan pelajar melakonkan semula peristiwa lampau melibatkan Ku Klux Klan (KKK), sebuah kumpulan pelampau kulit putih dari Amerika Syarikat pada era 1800-an yang digambarkan membunuh golongan berkulit hitam,” katanya.
Norhizam berkata, video itu turut memaparkan pengenalan undang-undang baharu yang bertujuan membendung diskriminasi kaum susulan kebangkitan KKK.
Rakaman tersebut yang tersebar luas di media sosial awal minggu ini dan menerima kecaman daripada warganet yang mempersoalkan kewajaran para pelajar yang mengenakan jubah menyerupai pakaian kumpulan pelampau kulit putih itu.
Norhizam berkata, kes tersebut masih dalam siasatan, dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam.
Sementara itu, pihak UiTM Dengkil dalam satu kenyataan semalam menafikan video tersebut mengandungi sebarang unsur penghinaan atau ketidakhormatan terhadap mana-mana agama.
Menurut UiTM, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tugasan universiti yang bertujuan menggalakkan pemikiran kritis dan meningkatkan kesedaran mengenai isu hak asasi manusia peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















