BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Ejen insurans rugi hampir RM1.5 juta diperdaya aplikasi pelaburan palsu

GEORGE TOWN – Seorang ejen insurans kerugian lebih RM1.49 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian menggunakan aplikasi dikenali sebagai XGI Horizon.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa berusia 57 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam selepas mendapati pelaburannya tidak membuahkan hasil seperti dijanjikan.

Menurut beliau, mangsa mula terlibat dalam pelaburan tersebut pada Disember 2024 selepas melihat iklan promosi saham di platform media sosial Facebook.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai wakil pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa bersetuju menyertai pelaburan itu dan diminta memuat turun aplikasi XGI Horizon serta mendaftar sebagai ahli.

“Pada 30 Disember 2024, mangsa membuat pelaburan pertama berjumlah RM9,999 dan kemudiannya dimaklumkan menerima pulangan sebanyak RM18,400.

“Pulangan awal itu membuatkan mangsa yakin dan terus melabur. Sebanyak 35 transaksi dilakukan antara 17 Februari hingga 24 April 2025 ke tujuh akaun bank berbeza milik syarikat tertentu, melibatkan jumlah keseluruhan RM1,495,176.

“Namun apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, transaksi tidak berjaya. Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis menasihati orang ramai tidak mudah terpedaya dengan pelbagai bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah terutama yang ditawarkan secara dalam talian.

“Masyarakat perlu sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berwajib seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button