
YKM anjur Larian Keluarga Malaysia 29 September ini, bantu anak mangsa COVID-19
KUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia 2024 (LKM 2024) buat julung kalinya pada 29 September 2024 di Persiaran Flora, Cyberjaya bagi bertujuan mengumpul dana untuk anak-anak yatim dan piatu yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.
Pengerusi YKM, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, larian tersebut demi memastikan bantuan kepada lebih kurang 6,000 anak yatim piatu yang berdaftar dengan YKM dibantu secara konsisten.

“Selepas COVID-19 ramai yang meninggal, ada yang kedua-dua ibu bapa meninggal dan anak yatim piatu setengahnya tinggal dengan nenek yang tiada pekerjaan tetap setengah nenek mungkin menerima sumbangan masyarakat, jadi kehidupan agak sukar.
“Untuk itu atas keinsafan kita mewujudkan Yayasan KM tujuannya membantu anak-anak dapat terus hidup lebih baik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun untuk menyokong hampir 1,000 anak yatim serta kerajaan turut meluluskan RM5 juta setahun untuk YKM.
“Melalui program seperti Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Akademik, termasuk pengurusan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri,” tambah beliau.
Katanya, LKM 2024 mendapat sokongan yang baik, termasuk daripada mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang kini merupakan Duta LKM 2024.
“Pemilihan Saudara Khairy sebagai Duta LKM 2024 adalah tepat kerana penglibatan aktif beliau dalam sukan larian dan maraton serta pengalaman sebagai Menteri Belia dan Sukan.
“Beliau juga memahami denyut nadi anak-anak ini kerana terlibat secara langsung dalam Kerajaan semasa pandemik COVID-19,” katanya.
Ujar bekas Perdana Menteri itu, Podcast Keluar Sekejap yang diterajui oleh Khairy dan Shahril Hamdan juga akan menjadi Podcast rasmi LKM tersebut.
Dalam pada itu katanya, larian tersebut terbuka kepada semua dan terbahagi kepada tiga kategori:
•21km (Terbuka & Veteran): RM79.00 (Promosi) / RM85.00 (Asal)
•10km (Terbuka & Veteran): RM59.00 (Promosi) / RM65.00 (Asal)
•5km (Larian Santai): RM39.00 (Promosi) / RM45.00 (Asal)
Ujarnya, YKM menyasarkan penyertaan sebanyak 3,000 peserta, terutama golongan belia yang gemar aktiviti larian dan gaya hidup sihat.
Pendaftaran boleh dilakukan di laman web rasmi YKM [https://yayasankeluargamalaysia.org.my/](https://yayasankeluargamalaysia.org.my/) atau LKM 2024 [https://lariankeluargamalaysia.com/](https://lariankeluargamalaysia.com/).
Tarikh akhir pendaftaran adalah pada 7 September 2024.
“YKM juga mengalu-alukan tajaan dan sokongan daripada semua pihak, terutama daripada syarikat korporat,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








