Khairy bertemu Zahid sebelum hadir PAU Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan persetujuan sebelum menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, semalam.
Khairy berkata, beliau berjumpa Zahid pada malam sebelum perhimpunan di sebuah majlis tahlil bagi menyatakan hasrat untuk hadir serta mendapatkan keizinan secara peribadi.
“Saya berjumpa Datuk Seri Zahid dan bertanya secara terus sama ada saya boleh hadir ke perhimpunan hari ini.
Saya maklumkan, sekiranya Datuk Seri tidak izinkan, saya tidak akan datang. Alhamdulillah, beliau memberi persetujuan,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Menurut Khairy, kehadirannya ke perhimpunan tersebut menjadi satu detik yang amat emosional selepas tiga tahun dipecat daripada parti itu.
Beliau berkata, selain jemputan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, keizinan Presiden parti menjadi faktor utama yang mendorong kehadirannya.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan, beliau hadir sebagai pemerhati dan memilih pendekatan berperingkat dalam menentukan langkah politik seterusnya.
“Hari ini saya kembali sebagai pemerhati. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengambil langkah secara berperingkat,” katanya lagi.
Mengulas saranan Ketua Pemuda UMNO supaya parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan, Khairy berkata, isu tersebut perlu dinilai secara lebih menyeluruh dan tidak boleh dilihat secara mudah.
Beliau berkata, Pemuda UMNO masih menghormati keputusan parti untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
“Apa yang penting ialah mesej daripada Pemuda bahawa prinsip serta garis merah UMNO mesti dipertahankan dan tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.
Tambahnya, usaha menyatukan orang Melayu perlu dilaksanakan secara matang dan inklusif tanpa menjadikannya sebagai agenda kebencian terhadap mana-mana kaum lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







