BERITA SEMASAPOLITIK

KJ akui tidak terima tawaran jawatan rasmi dalam UMNO buat masa ini

KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengesahkan kepulangannya ke pangkuan UMNO tanpa memegang sebarang jawatan rasmi buat masa ini, menurut laporan BH Online.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ada memintanya untuk meneliti beberapa perkara khusus, namun menyifatkan masih terlalu awal untuk memperincikan tugasan itu.

“Tiada peranan rasmi, tetapi beliau ada meminta saya melihat satu atau dua perkara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas panjang sebelum memulakan tugasnya.

“Saya rasa agak awal untuk dikongsi kerana saya belum bermula lagi. Namun, yang pasti tiada jawatan rasmi dan saya sendiri meminta supaya tidak diberikan sebarang jawatan rasmi.

“Tetapi beliau (Presiden) ada meminta saya melihat sesuatu yang spesifik,” katanya.

Khairy juga mengakui tersentuh dengan intipati ucapan Ahmad Zahid pada konvensyen berkenaan.

“Ia mencerminkan keikhlasan Presiden dalam membuka semula pintu UMNO untuk saya. Amat jarang kita dapat melihat seorang pemimpin parti mengakui bahawa terdapat kekurangan di kedua-dua belah pihak.

“Saya amat berterima kasih atas kemurahan hati dan keikhlasan beliau,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu satu lembaran baharu dan menganggap pesanan berkenaan sebagai nasihat seorang ‘bapa’ yang sangat bermakna.

“Beliau menekankan bahawa kesetiaan itu penting. Kata beliau, tidak penting untuk setia kepada sesiapa pun dalam parti, tetapi cukuplah sekadar setia kepada parti.

“Saya rasa itu nasihat yang sangat tajam, cara seorang bapa mengingatkan saya mengenai fasa seterusnya dalam UMNO,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bahawa imej UMNO masih belum pulih sepenuhnya, Khairy bagaimanapun senada dengan pendapat berkenaan.

“Sedikit sebanyak ya. Saya rasa kita masih mempunyai tugas yang sukar untuk cuba memulihkan sokongan rakyat.

“Mengakui kesilapan hanya langkah pertama. Selepas itu, ia menyediakan pentas untuk kita memperkenalkan semula diri kepada pengundi atas pagar atau golongan pertengahan yang mungkin sudah hilang kepercayaan kepada kita.

“Kemudian, seperti yang dikatakan Presiden, tidak cukup untuk kita hanya mengenang masa lalu, tetapi perlu tampil dengan idea dan cadangan baharu mengenai apa yang boleh kita tawarkan kepada pengundi jika diberi peluang memerintah semula,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button