Polis sahkan tiada unsur jenayah dalam kes lelaki maut di lobi HTAA
KUANTAN – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri di hadapan lobi utama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada 6 Jun lalu sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari bangunan hospital berkenaan.
Menurutnya, kes itu telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Berdasarkan siasatan, mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan berkaitan masalah kesihatan mental di hospital berkenaan dan tiada sebarang unsur jenayah,” memetik Buletin TV3 online.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengesahkan lelaki terbabit bukan pesakit yang sedang menerima rawatan di HTAA dan juga bukan kakitangan jabatan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, JKN Pahang memaklumkan lelaki dewasa itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 pagi di kawasan hadapan lobi utama hospital.
Pasukan perubatan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA kemudiannya menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian sebelum mengesahkan tiada elemen jenayah terlibat dalam insiden berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








