Polis gempur ‘port’ lumba haram di Iskandar Puteri, 32 saman dikeluarkan
ISKANDAR PUTERI – Polis menggempur lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ lumba haram menerusi Operasi Samseng Jalanan (Ops Motokar) di Lebuh Medini Utama, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, operasi itu menyasarkan kumpulan motokar yang terlibat dalam aktiviti berbahaya termasuk lumba haram dan aksi pemanduan merbahaya.
Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan dan pelanggaran peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri menjalankan operasi di lokasi berkenaan yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan aktiviti samseng jalanan.
“Operasi ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD) Iskandar Puteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan pemeriksaan, sebanyak 45 buah kereta diperiksa melibatkan 63 lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Tambahnya, antara kesalahan utama dikesan termasuk penggunaan ekzos yang diubah suai serta nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Kumarasan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan kerana ia membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








