Banjir di Johor memburuk, lebih 13,000 mangsa terjejas
JOHOR BAHRU – Bencana banjir yang melanda Johor terus memburuk hari ini dengan bilangan mangsa yang terjejas kini mencecah 13,000 orang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, setakat pukul 8 pagi tadi, mangsa yang terlibat meningkat kepada 13,089 orang.
Mereka terdiri daripada 3,749 keluarga, berbanding 12,686 orang daripada 3,709 keluarga, malam tadi.

“Kesemua mangsa banjir di enam daerah yang terjejas ditempatkan di 95 buah Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di negeri ini.
“Johor Bahru terus menunjukkan peningkatan mangsa banjir iaitu daripada 5,047 orang (1,505 keluarga) pada malam tadi, kepada 5,402 orang (1,532 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif setakat pagi ini,” kata beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Kluang pula mencatatkan penurunan mangsa banjir daripada 2,736 orang (788 keluarga) kepada 2,458 orang (708 keluarga) yang kini ditempatkan di 22 PPS di daerah itu.
“Jumlah mangsa banjir di Pontian juga sedikit berkurang daripada 1,873 orang (512 keluarga) pada malam tadi, menjadi 1,782 orang (488 keluarga) di 21 PPS,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Azmi memberitahu, Kota Tinggi pula menunjukkan sedikit peningkatan daripada 1,671 orang (485 keluarga) kepada 1,690 orang (491 keluarga) pagi ini, yang mana 15 PPS di daerah itu masih aktif.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah Kulai kembali meningkat daripada 1,276 orang (394 keluarga) pada malam tadi, menjadi 1,531 orang (460 keluarga) yang masih berada di lapan PPS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







