BERITA SEMASA

Pertandingan Seni Khat Perak tarik 592 peserta

TAIPING – Pertandingan Seni Khat 2026 Peringkat Negeri Perak yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Taiping dengan kerjasama pusat beli-belah Taiping Sentral berjaya menarik penyertaan seramai 592 peserta, meningkat berbanding 356 peserta pada tahun lalu.

YB Wong Kah Woh menulis Taiping Gemilang dalam tulisan Jawi semasa menghadiri Pertandingan Seni Khat TS 2026 Peringkat Negeri Perak.
YB Wong Kah Woh menulis Taiping Gemilang dalam tulisan Jawi semasa menghadiri Pertandingan Seni Khat TS 2026 Peringkat Negeri Perak.

Ahli Parlimen Taiping merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, program yang diadakan sempena Ramadan semalam bertujuan memupuk minat terhadap seni tulisan khat dalam kalangan pelajar serta menyokong aktiviti kebudayaan di sekolah.

Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memelihara dan memartabatkan warisan seni Islam yang bernilai.

“Kerajaan MADANI akan terus berusaha menyediakan platform seperti ini bagi memastikan seni khat terus berkembang dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

YB Wong Kah Woh, YB Teh Kok Lim (ADUN Aulong), dan YB Ong Seng Guan (ADUN Pokok Assam) sedang memberi baucar RM150 kepada murid-murid semasa Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026.
YB Wong Kah Woh, YB Teh Kok Lim (ADUN Aulong), dan YB Ong Seng Guan (ADUN Pokok Assam) sedang memberi baucar RM150 kepada murid-murid semasa Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, ibu bapa serta para pelajar yang sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, tahun 2026 amat istimewa kerana bulan Ramadan bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus mencerminkan keunikan masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurutnya, kepelbagaian budaya tersebut merupakan kekuatan negara apabila pelbagai perayaan diraikan bersama dalam suasana harmoni.

“Pada bulan lalu, Kerajaan MADANI turut menganjurkan pertandingan kaligrafi Cina sebagai sebahagian daripada usaha meraikan kepelbagaian budaya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh beberapa inisiatif Kerajaan MADANI bagi meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 berbanding RM1,500 pada 2023.

“Kerajaan turut melaksanakan semakan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan pada 2024 selepas lebih 10 tahun tanpa semakan gaji,” katanya lagi.

Pada masa sama, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk tahun 2026 yang dijangka memanfaatkan 5.2 juta pelajar, berbanding 2.7 juta penerima pada 2022.

Sementara itu, pada hari yang sama turut diadakan Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026 yang melibatkan 300 pelajar daripada 17 buah sekolah kerajaan.

“Setiap pelajar menerima baucar bernilai RM150 bagi membeli pakaian raya sebagai usaha menceriakan sambutan Aidilfitri.

“Tahun ini merupakan kali keempat program ini dianjurkan dan ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI di Taiping dalam membantu meringankan beban keluarga serta memastikan anak-anak dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button