JENAYAH & MAHKAMAH

Perbicaraan bekas penuntut UMP hina al-Quran bermula Ogos depan

KUANTAN – Perbicaraan kes bekas penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menghina Al-Quran dan memuat naik kandungan menghina Islam di media sosial akan bermula Ogos depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Harmi Thamri Mohamad hari ini menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 3 Ogos hadapan.

Tertuduh, S. Vikneswaran, 21, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah 3 Mac lalu.

Peguam bela, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, memaklumkan pihak pembelaan sudah menerima semua dokumen berkaitan kes daripada pihak pendakwaan.

“Kami memohon tempoh satu bulan untuk meneliti dokumen itu dan memfailkan representasi. Setakat ini, dokumen yang diserahkan oleh pendakwaan adalah mencukupi,” katanya sewaktu prosiding, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab.

Harmi Thamri menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendengar keputusan representasi, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan dari 3 hingga 7 Ogos.

Surat representasi biasanya dikemukakan bagi memohon penarikan balik atau pengurangan pertuduhan terhadap seseorang tertuduh.

Tertuduh yang berkaca mata dan memakai baju hijau serta seluar hitam dilihat memakai pelitup muka dan topi semasa meninggalkan bilik perbicaraan dengan diiringi ahli keluarga.

Vikneswaran, ditahan pada 25 Februari lalu kerana memuat naik hantaran media sosial yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum, agama, dan raja (3R), kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Pada 3 Mac lalu, dia dituduh mencemarkan Al-Quran dengan niat menghina agama Islam, serta didakwa menggunakan aplikasi Threads untuk memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Jawatankuasa tatatertib pelajar UMPSA kemudian bertindak menyingkirkannya pada 24 Mac lalu selepas mendapati dia bersalah atas kesalahan disiplin yang melibatkan isu sensitif berkaitan 3R.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button