Penyelidik UMS temukan spesies kulat baharu di Lembah Danum
LAHAD DATU – Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah dalam dunia sains selepas menemui spesies kulat baharu yang menyerupai tanduk di Kawasan Pemuliharaan Danum Valley, baru-baru ini.
Penemuan spesies yang dinamakan Pleurocordyceps cornusynnemata itu disahkan sebagai rekod pertama seumpamanya di dunia menerusi penerbitan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa.
Menurut penyelidik utama, Prof Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan, spesies berkenaan mempunyai struktur fizikal unik menyerupai tanduk yang membezakannya daripada 26 spesies lain dalam genus Pleurocordyceps yang direkodkan di beberapa negara termasuk China, Thailand dan Jepun lapor Bernama.
“Dalam kajian sama, pasukan turut merekodkan dua lagi spesies iaitu Pleurocordyceps aurantiaca dan Pleurocordyceps nipponica yang merupakan rekod baharu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kajian berkenaan diketuai beliau bersama dua pelajar pascasiswazah Muhammad Shahbaz (PhD) dan Firdza Zulkarnain Mohadden (Sarjana), serta penyertaan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Yap Jing Wei dan pelajar Jeremiah Sia Yiao Rong, selain seorang saintis warganegara Elyse Yang.
Spesimen kulat itu kini disimpan di pusat rujukan BORNEENSIS Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS sebagai bahan rujukan saintifik pada masa akan datang.
Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor dalam kenyataan sama berkata penemuan berkenaan membuktikan keupayaan saintis tempatan menerajui penyelidikan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata kejayaan itu turut selari dengan aspirasi universiti melalui gagasan The Brain of Borneo dalam memperkasa penerokaan serta pemuliharaan khazanah biodiversiti Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















