Penuntut Myanmar hilang sejak 9 Julai rupanya maut jatuh kondominium
KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang penuntut lelaki warga Myanmar dari sebuah universiti swasta di Cheras sejak 9 Julai lalu akhirnya terungkai apabila dia disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 sebuah kondominium di Taman Connaught, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 8.30 pagi.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 26 bangunan kediaman berkenaan.
“Laporan bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz turut mengesahkan punca kematian adalah akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut Ridzuan, pengecaman mayat dilakukan oleh bapa mangsa yang berusia 54 tahun dan merupakan seorang peniaga di Myanmar, berdasarkan tanda lahir di pinggang kiri anaknya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sithu Hpone Maw yang berusia 20 tahun.
Difahamkan mayatnya akan dibawa pulang ke Myanmar pada 22 Julai ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, media melaporkan kehilangan seorang pelajar lelaki dari sebuah universiti swasta yang gagal dikesan sejak 9 Julai.
Laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan universiti pada pukul 9.05 malam, Isnin lalu selepas mangsa tidak dapat dihubungi
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








