Lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan
KUANTAN – Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas ditikam dalam insiden pergaduhan di rumah kongsi pekerja lombong di Kampung Sungai Bayas, Sungai Lembing, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi ketika mangsa berusia 42 tahun itu dalam keadaan mabuk dan mengganggu rakan serumah yang sedang tidur.
“Pertengkaran itu berakhir apabila salah seorang rakan sekerja menikam mangsa di bahagian dada.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Ashari, hasil pemeriksaan di rumah kongsi berkenaan, polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Susulan insiden berkenaan, empat lelaki berusia antara 38 hingga 64 tahun ditahan kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Mereka terdiri daripada dua warga Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan.
“Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati salah seorang pekerja lombong bijih yang ditahan sudah mengaku menikam mangsa,” jelasnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







