PMX

Penjawat awam malas, cuai, amal rasuah tidak dapat kenaikan gaji – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan golongan kecil yang menjadi perosak dalam penjawat awam tidak akan mendapat habuan yang sama dalam kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketua jabatan masing-masing diminta untuk mengenal pasti individu yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Ujar beliau, nilai integriti penjawat awam haruslah setimpal dengan pengikitirafan dan keyakinan yang diberikan kerajaan menerusi pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang djangka akan dilaksanakan Disember ini.

“Saya minta sementara kita beri satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara-saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.

“Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu, jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei di sini hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

Pada sambutan Hari Pekerja lalu, Anwar mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan telah mengambil keputusan yang berani untuk menaikkan gaji penjawat awam walaupun ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya.

“Kalau ikut pertimbangan ekonomi, teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji ditangguh sehingga ekonomi itu lebih stabil, maknanya hutang kurang.

“Namun saya lihat dari segi Madani, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan. Bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan dan dari segi kecuaian banyak pihak lain.

“Jadi kita pertimbangkan itu, tak boleh dibebankan, dan ada kewajaran kita sebagai bapa dalam keluarga besar, kerajaan harus beri pertimbangan, itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button