Penghasilan grafik Jalur Gemilang guna AI perlu arahan tepat, semakan rapi elak kesilapan
PUTRAJAYA – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan grafik Jalur Gemilang memerlukan kemahiran memberikan arahan teks yang tepat beserta pemeriksaan akhir yang rapi bagi memastikan tiada sebarang kesilapan pada imej yang dihasilkan.
Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan (JAPEN), Mohd Sabri Abdullah berkata, pengguna umumnya hanya memberi arahan ringkas tanpa memuat naik contoh imej rasmi menyebabkan model AI digunakan tidak mendapat latihan yang cukup.
“Kekeliruan akan timbul jika arahan kepada model AI tidak dinyatakan secara terperinci menyebabkan model tersebut menghasilkan output dengan anggaran sendiri,” katanya.
Mohd Sabri berkata demikian ketika memberikan taklimat mengenai ‘AI, Identiti Nasional: Memelihara dan Menghormati Jalur Gemilang di Alam Digital’ di sini hari ini.
Taklimat tersebut merupakan sebahagian daripada taklimat khas ‘Jalur Gemilang – Maruah Negara, Amanah Media’ yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan khusus buat petugas media dan pegawai perhubungan JAPEN.
Jelas beliau, kegagalan memberikan arahan teks yang tepat menyebabkan terdapat kesalahan pada bentuk, elemen, warna, atau susun atur Jalur Gemilang yang boleh menjejaskan imej dan melanggar piawaian rasmi kerajaan.
“Kesilapan seperti tiada bulan sabit atau bintang yang salah atau jumlah jalur tidak tepat bukan saja kesilapan estetika, tapi mencabuli simbol kebangsaan dan menjejaskan imej dan maruah negara,” katanya lagi.
“Oleh sebab itu, hasil akhir dan semakan kualiti pada penghasilan grafik terutama bahan visual patriotik perlu dilakukan oleh manusia tanpa melibatkan teknologi AI,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








