‘Penggantungan satu hikmah, dapat bantu calon PN pada PRK Ayer Kuning’ – Razman
IPOH – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria akan menggunakan penggantungannya daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Menganggap pengantungannya sebagai ‘satu hikmah’, Razman berkata keputusan penggantungan itu juga akan dijadikan modal kempen sepanjang PRK berkenaan bagi membuka mata pengundi tentang apa yang berlaku.
“Kesempatan ini akan saya gunakan untuk membantu kempen dan menceritakan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku.
“Keputusan ini pastinya akan memberi kelebihan kepada calon PN (Abd Muhaimin Malek) di Ayer Kuning dan meningkatkan sokongan lebih kuat kepada PN,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu bagaimanapun mengakui kecewa dengan keputusan penggantungan yang dikenakan terhadapnya dan menganggapnya sebagai tidak adil, namun akur dengan keputusan tersebut.
Terdahulu, Sidang DUN Perak meluluskan usul penggantungan Razman selama enam bulan daripada menghadiri persidangan DUN, berkuat kuasa serta-merta.
Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang kemudiannya disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak, hari ini.
Razman dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Keputusan penggantungan itu diumumkan Speaker, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas majoriti anggota DUN bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan yang bersidang, kelmarin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








