BERITA SEMASA

Dakwaan kasino di Forest City satu persepsi jahat berniat gagalkan Zon Kewangan Khas – MB Johor

ISKANDAR PUTERI – Dakwaan Forest City diberi kelulusan untuk pembangunan kasino adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah liar.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, fitnah tersebut sengaja ditimbulkan untuk mewujudkan persepsi jahat bagi menggagalkan pembangunan Forest City yang akan dijadikan Zon Kewangan Khas (SFZ).

“Saya ingin menyentuh berkaitan cadangan pembinaan kasino di Forest City, ingin saya tegaskan sekali lagi berita berkenaan adalah fitnah liar dan tidak benar sama sekali.

“Ia tak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk. Ia juga fitnah yang tidak masuk akal sekali melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemarkan imej Forest City.

“Ia juga mengulangi persepsi negatif untuk gagalkan Forest City yang dilakukan pihak tertentu seperti 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Terdahulu, Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) bertanya kesahihan laporan berita beberapa media antarabangsa mengenai sama ada kerajaan negeri memberi kelulusan untuk pembangunan pusat kasino di Forest City.

Pada 25 April lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor.

Perdana Menteri dilaporkan turut menyatakan bahawa laporan media yang memetik sumber, bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu adalah tidak benar.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap turut menasihatkan segelintir pihak yang suka menabur fitnah supaya insaf dan membuat perkara lebih bermanfaat.

“Pada mereka (pemfitnah) suka saya nasihatkan cukup-cukuplah. Insya-Allah dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang adalah masa terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City.

“Ia (pembangunan Forest City) akan beri manfaat langsung dan tak langsung kepada Bangsa Johor dan Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button