BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Pengalaman Mohd Sakeri perkukuh hala tuju pembangunan Putrajaya

PUTRAJAYA – Pelantikan Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) ke-8 dijangka memberi suntikan kepimpinan yang mantap dalam menerajui pembangunan bandar pusat pentadbiran itu berikutan pengalaman luas dimiliki beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ketokohan dan pengalaman Mohd Sakeri mampu memperkukuh hala tuju pembangunan Putrajaya.

“Saya yakin dengan pengalaman yang luas dan pelbagai, beliau akan memberi nilai tambah penting dalam memimpin pembangunan di Putrajaya.

“Insya-Allah, beliau akan menerajui Perbadanan Putrajaya dengan cekap, berintegriti dan visi yang jelas,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Pelantikan Mohd Sakeri adalah bagi mengisi tempat Datuk Fadlun Mak Ujud yang bakal menyandang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur menggantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Dr Zaliha menegaskan bahawa pembangunan bandar akan terus dipacu selaras visi Bandar CHASE termasuk peningkatan kualiti penyelenggaraan bandar, pendigitalan perkhidmatan perbandaran, pengukuhan mobiliti hijau serta pembinaan komuniti inklusif.

Tambahnya, perancangan jangka panjang Putrajaya juga akan berpandukan nilai Malaysia MADANI dan rangka kerja Rancangan Struktur Putrajaya 2050 (RSP50).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fadlun atas sumbangan beliau sejak memimpin PPj pada 2022, khususnya dalam memartabatkan Putrajaya sebagai bandar pentadbiran moden melalui pengukuhan inisiatif bandar pintar, pengurusan hijau dan kemudahan komuniti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button