Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu
KUALA LUMPUR – Datuk Fadlun Mak Ujud diumumkan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa esok, selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.
“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI,” kata Zaliha dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata, Fadlun yang berusia 58 tahun membawa bersama pengalaman luas lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
“Fadlun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sebelum ini menyandang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022.
“Dalam tempoh tersebut, beliau menunjukkan kepimpinan cemerlang menerusi pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusif dan lestari.
“Selain itu, Fadlun turut merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia, selain aktif dalam forum serta jaringan profesional antarabangsa, sekali gus memperkukuh kredibilitinya sebagai tokoh perancangan bandar berwawasan,” katanya.
Sementara itu, Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif atas sumbangan sepanjang menerajui DBKL, yang berjaya mengangkat reputasi Kuala Lumpur ke peringkat antarabangsa.
Beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan baharu Maimunah sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS, dan yakin pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam agenda pembangunan strategik negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








