Penduduk Gaza dijangka mula terima bantuan udara, konvoi kemanusiaan PBB hari ini
DEIR AL-BALAH, Tebing Gaza – Penduduk Gaza akan mula menerima bantuan kemanusiaan menerusi udara dan penghantaran konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi koridor kemanusiaan, hari ini.
Kenyataan tentera rejim zionis lewat semalam itu hadir ketika tekanan masyarakat antarabangsa termasuk sekutu Israel mengenai isu kebuluran dan pembunuhan rakyat Palestin yang mahu mendapatkan bekalan makanan di kawasan berkenaan semakin memuncak.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan lokasi sebenar lokasi pengguguran bekalan udara atau koridor kemanusiaan tersebut, lapor portal NPR.
Penghantaran bekalan melalui koridor udara itu diminta oleh Jordan dan menurut seorang pegawai negara berkenaan, ia akan memfokuskan kepada penghantaran makanan dan susu formula.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan penghantaran akan bermula “serta-merta.”
Britain pula merancang untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menghantar bantuan melalui udara dan memindahkan kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan.
Bagaimanapun, Ketua Agensi Bantuan Pelarian Palestin PBB (UNRWA), Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa penghantaran melalui udara adalah “mahal, tidak efisien dan boleh membahayakan nyawa penduduk yang kebuluran,” serta tidak mampu mengatasi kebuluran yang semakin meningkat mahupun mencegah penyelewengan bantuan.
Tentera Israel sebelum ini menyatakan mereka tidak menghadkan jumlah trak bantuan yang boleh memasuki Gaza, namun PBB memaklumkan operasi mereka dihalang oleh sekatan ketenteraan serta kegiatan jenayah rompakan.
Polis yang dikendalikan Hamas sebelum ini memberi kawalan keselamatan terhadap penghantaran bantuan, tetapi kini tidak lagi beroperasi selepas menjadi sasaran serangan udara.
Di sebalik operasi penghantaran bekalan kemanusiaan berkenaan, tentera Israel menegaskan, bahawa “operasi ketenteraan masih diteruskan” terhadap Hamas di Gaza, dan menyatakan bahawa “tiada kebuluran” di wilayah itu, walaupun sebahagian besar daripada lebih 2 juta penduduk telah dipindahkan ke kawasan sempit dengan infrastruktur yang hampir musnah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








