BERITA SEMASA

Pembangunan infrastruktur perlu seimbang dengan pemeliharaan alam – Menteri Kerja Raya

PUTRAJAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan pembangunan infrastruktur di negara ini perlu seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar dan juga perlindungan hidupan liar.

Beliau berkata demikian susulan insiden seekor anak gajah yang mati dilanggar lori dalam satu kejadian di Gerik, Perak baru-baru ini.

alexander nanta linggi
Alexander berharap semua pihak berusaha menjaga keselamatan dan kelestarian alam sekitar bersama.

“Saya menyeru semua pihak, termasuk pengguna jalan raya dan komuniti setempat, untuk bersama-sama menjaga keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

“Hidupan liar adalah khazanah negara yang tidak ternilai,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Alexander, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan semakan semula kawasan berisiko tinggi dalam masa terdekat, termasuk mempertimbangkan penggunaan teknologi seperti sensor pergerakan haiwan bagi mengurangkan risiko perlanggaran.

“KKR juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam mengenal pasti lokasi kritikal serta menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum sesuatu projek dimulakan.

“Setakat ini, sebanyak 39 lintasan gajah di seluruh negara telah dilengkapi lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi hidupan liar,” jelas beliau.

Kementerian Kerja Raya juga akan membuat semakan semula mengenai lokasi berisiko tinggi termasuk memasang sensor pergerakan haiwan.

Tambah beliau, keselamatan pengguna jalan raya dan perlindungan hidupan liar sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap projek jalan yang dilaksanakan oleh KKR agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi lebuh raya.

Antara inisiatif utama KKR termasuklah pembinaan laluan lintasan hidupan liar seperti eco-viaducts dan underpass tunnels di kawasan dikenal pasti sebagai laluan migrasi haiwan liar.

Beberapa projek penting yang telah atau sedang dilaksanakan pula meliputi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) iaitu lintasan bawah tanah di KM33–37 dan KM39 berhampiran Hutan Simpan Ulu Gombak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) iaitu pembinaan jambatan hijau (eco-viaduct) sebagai laluan selamat lintasan hidupan liar dan Jalan Kuala Berang – FELDA Aring (tiga terowong khas dibina di Seksyen 66, 70 dan 73).

Selain itu, projek Central Spine Road (CSR), termasuk Eco-Viaduct Sungai Yu sepanjang 900 meter yang terpanjang di negara ini, West Coast Expressway (WCE) iaitu pembinaan terowong lintasan haiwan di jajaran Taiping Selatan–Bruas dan Lebuhraya Timur–Barat (Gerik–Jeli).

“Pembangunan mampan bukan sekadar membina jalan, tetapi memastikan khazanah semula jadi tidak hilang dalam proses tersebut,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button