Pemandu lori terlibat kemalangan trak FRU ditahan semula selepas dibebas dengan jaminan
TELUK INTAN – Pemandu lori yang didakwa berhubung kes kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan ditahan semula sejurus dibebaskan dengan jaminan, pagi tadi.
Dia ditahan polis dari IPD Bagan Datuk berhubung satu lagi kes jenayah yang berlaku di daerah berkenaan, difahmkan berkenaan kecurian lembu.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan, majikan Rudi Zulkarnain telah membayar wang jaminan berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin, membolehkan dia dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Rudi Zulkarnain pada 16 Mei lalu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin bagi semua semua sembilan pertuduhan memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian iaitu terhadap sembilan anggota FRU.
Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun namun tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 namun tidak melebihi RM50,000.
Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan itu selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan iaitu lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai di mahkamah serta perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap minggu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








