BERITA SEMASA

Pelancong India cemas, bas dinaiki rempuh pembahagi jalan

TANJUNG MALIM – Pelancong warga India yang menaiki sebuah bas persiaran cemas apabila kenderaan yang dinaiki itu terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 392.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.39 petang itu, seramai 36 penumpang dan pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, bas tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh ketika kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati bas jenis persiaran yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan dan melanggar penghadang pembahagi lebuh raya.

“Kenderaan itu kemudian memasuki longkang,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Menurut beliau, kesemua penumpang yang terdiri daripada 32 lelaki dan empat wanita telah dipindahkan ke sebuah bas gantian bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Keadaan struktur jalan ketika kejadian adalah lurus dan cuaca dilaporkan baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button