30 penumpang bas terselamat dalam pelanggaran dengan treler di Jambatan Endau
ROMPIN – Seramai 30 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jambatan Endau, Teluk Gading, di sini, lewat malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.20 malam itu, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kelantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui jambatan terbabit.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, bas tersebut terbabas ke lorong kanan lalu bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan besi dari arah bertentangan.
“Bagaimanapun, pemandu treler, pemandu bas serta kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke lorong bertentangan.
Menurutnya, semua penumpang bas ekspres berusia antara tujuh hingga 50 tahun dihantar pulang ke destinasi masing-masing menggunakan bas lain kira-kira sejam selepas kejadian.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








