JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar tahfiz maut dalam kemalangan babitkan Perodua Myvi, lori muatan sawit

PEKAN – Seorang pelajar aliran tahfiz yang juga huffaz Quran maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Kilometer 60 Jalan Pekan-Rompin, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.05 malam ketika mangsa, Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, dalam perjalanan menghala ke Rompin dari arah Pekan.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu lori berusia 28 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan permukaan jalan rata dan jalan basah dengan tahap pencahayaan gelap tanpa lampu,” katanya.

Allahyarham Waqiuddin
Allahyarham Muhammad Fakhri Waqiuddin sudah menghafal 30 juzuk al-Quran dan sedang mengikuti Program Syahadah al-Quran di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi bergegas ke lokasi sebaik mendapat laporan mengenai kemalangan itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian bomba mendapati mangsa tersepit dalam kereta.

“Anggota bomba bertindak membawa keluar mangsa yang tersepit tetapi disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.

Muhammad Fakhri Waqiuddin yang berasal dari Indera Mahkota, Kuantan sudah menghafal 30 juzuk al-Quran dan sedang mengikuti Program Syahadah al-Quran di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button